Pemakaian pelitup muka (mask) untuk pelajar TIDAK DIWAJIBKAN dan pentadbiran sekolah hanya perlu menyediakan sabun atau cecair pembasmi kuman tangan, melakukan saringan gejala serta suhu badan.
Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pentadbiran sekolah hanya perlu menyediakan pelitup muka sekiranya terdapat pelajar atau kakitangan sekolah yang menunjukkan gejala ketika sesi persekolahan.
“Seperti ditetapkan dalam Garis Panduan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), pihak sekolah hanya perlu memastikan penyediaan sabun atau pensanitasi tangan, melakukan saringan gejala dan suhu badan.
“Pemakaian pelitup muka adalah tidak diwajibkan dan pihak sekolah hanya perlu menyediakan pelitup muka sekiranya terdapat pelajar atau kakitangan sekolah yang menunjukkan gejala semasa sesi persekolahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.